TAWAU: Rakyat di negeri ini diminta supaya menjadikan aktiviti sukan sebagai budaya dan amalan harian ke arah gaya hidup yang lebih sihat.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, aktiviti sukan adalah platform kecergasan fizikal yang dapat memberi banyak manfaat untuk kesihatan diri sendiri.
Selain itu, katanya, ia juga turut memberikan manfaat kepada negara dan negeri ini kerana rakyatnya sentiasa sihat dan cergas.
“Sukan adalah cara terbaik untuk membantu meningkatkan kesihatan diri dan kesejahteraan semua masyarakat selain mampu menyumbang ke arah meningkatkan produktiviti kerja.
“Justeru, saya sarankan seluruh rakyat dapat meluangkan masa menjalankan aktiviti bersukan, bersenam dan beriadah bagi mengekalkan kesihatan fizikal dan mental kita,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat daerah Tawau, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, melalui sukan juga dapat menghindarkan diri seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang tidak sihat.
“Saya mengharapkan rakyat di negara ini meluangkan masa harian dengan perkara yang berfaedah termasuklah melakukan aktiviti riadah dan bersukan,” katanya.
Sementara itu, Nizam menzahirkan syabas kepada Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan kerana berjaya menganjurkan HSN peringkat daerah Tawau dengan kehadiran kira-kira 1,000 orang terutamanya belia.
Katanya, HSN negara ini boleh menjadi satu lonjakkan semangat kepada rakyat di negara ini supaya sentiasa beriadah dan aktif bersukan.
“Saya difahamkan banyak aktiviti yang diadakan sempena HSN di sini dan ia sudah pasti dapat memberi kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan.
“Semua pihak perlu memberikan sokongan dan dokongan terhadap sambutan HSN ini kerana ia merupakan satu kempen kesihatan yang sangat berkesan,” katanya.