TAWAU: Taktik seorang remaja menukar nombor pendaftaran palsu bagi mengelak motosikalnya ditarik kerana gagal membayar ansuran bulanan membawa padah apabila ditahan polis, semalam.
Suspek lelaki berusia 17 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di Batu 4, Jalan Apas, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan itu dilakukan dalam satu Operasi Kenderaan Perdagangan di lokasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan nombor pendaftaran menggunakan ‘Mobile Computerized On-Line Payment System’ (MCOPS) mendapati motosikal suspek tidak sepadan dengan nombor pendaftaran yang dipamerkan.
“Nombor pendaftaran yang dipasang di motosikal berkenaan adalah merujuk kepada sebuah kereta jenis Proton Saga,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Katanya, soal siasat mendapati penunggang motosikal itu terpaksa menukar nombor pendaftaran motosikal kerana tidak mahu kenderaan itu ditarik selepas gagal bayar tunggakan di kedai motosikal.
Menurutya, remaja terbabit dibawa ke BSPT IPD Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut, manakala motosikal berkenaan telah disita.
“Semakan juga mendapati suspek tidak memiliki lesen menunggang motosikal dan kes disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Tindakan remaja itu jelas mendatangkan kesusahan kepada pemilik kenderaan asal yang menjadi mangsa ‘klon’, selain dibebani saman trafik dan pelbagai kesalahan lalu lintas tidak dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Jasmin berkata, sebanyak 14 notis saman dikeluarkan menerusi pemeriksaan ke atas 98 buah kenderaan dalam operasi berkenaan yang bermula jam 9 pagi dan terakhir 11.30 pagi.
“Pelbagai kesalahan direkodkan antaranya tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, tidak mematuhi syarat permit, menggunakan alat komunikasi, tidak pakai tali pinggang keledar dan nombor pendaftaran,” katanya.