RM130 juta peruntukan naik taraf Lapangan Terbang Tawau

Anthony Lok membuat tinjauan di Lapangan Terbang Tawau, di sini hari ini.

TAWAU: Projek naik taraf Lapangan Terbang Tawau (LTT) yang dianggarkan bernilai RM130 juta dijangka akan dimulakan seawal pada tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kerajaan sudah membuat senarai pendek 16 buah syarikat dan proses lantikan kontraktor utama akan dapat dimuktamatkan menjelang tahun hadapan.

Katanya, kementerian pengangkutan mengharapkan projek ini dapat dimulakan awal tahun depan dan ia dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

“Kawasan lapangan terbang ini akan diperluaskan hampir 50 peratus dan dijangka kapasiti penumpang bertambah daripada 1.5 juta setahun kepada 2.5 juta.

“Selain bangunan terminal ini di luaskan, kita juga akan mengubah suai dan mengindahkan kawasan dalaman bangunan sedia ada,” katanya ketika ditemui dalam lawatan kerjanya di Tawau, hari ini.

Menurutnya, bangunan LTT sekarang ini perlu ditambah baik memandangkan ia dilihat semakin usang dan keadaannya tidak begitu baik.

“Projek naik taraf ini membabitkan keluasan bangunan daripada 15,800 meter persegi menjadi 23,500 meter persegi dan kaunter masuk penumpang daripada 12 kepada 20 kaunter.

“Paling penting bangunan berkenaan akan berubah wajah menjadi terminal berhawa dingin sepenuhnya memandangkan sekarang ini hanya separuh berhawa dingin sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kementerian telah mengarahkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengambil langkah jangka masa pendek sementara menunggu naik taraf lapangan terbang ini siap.

“MAHB juga diminta supaya menambah penyejuk udara di kawasan-kawasan tumpuan ramai di lapangan terbang ini terutamanya di tempat menunggu penumpang.

“Kita juga meminta pihak MAHB menambah baik dari segi khidmat pelanggan di lapangan terbang ini supaya boleh menyediakan kakitangan yang boleh berbahasa asing seperti mandarin dan arab,” katanya.

Anthony berkata, kerajaan melihat keperluan menaik taraf LTT ini memandangkan ia adalah pintu masuk utama pelancong untuk ke lokasi pelancongan tumpuan di Semporna.

“Sebelum ini, kementerian menerima maklumat mengenai kesesakan yang berlaku di LTT disebabkan jumlah pelancong luar negara semakin bertambah.

“Kita menjangkakan tahun ini LTT akan menerima jumlah pelancong yang agak tinggi disebabkan banyak penerbangan terus dari China menerusi kapal terbang sewaan,” katanya.
Terbaru Lebih lama