Penampang - Program pencarian bakat, The Finding Singer (TFS) musim kedua telah bermula dan pemenang akan membawa pulang hadiah utama sejumlah RM22,000.
TFS musim pertama telah mencatatkan kejayaan luar biasa dengan ganjaran sebanyak RM15,000 manakala untuk musim kedua ini, hadiah utama telah ditingkatkan.
Pengerusi TFS musim kedua, Alexander Chuan memaklumkan, ujibakat akan diadakan di 21 daerah di Sabah serta 3 lokasi di Semenanjung Malaysia.
Perkara ini bertujuan untuk membuka peluang luas bagi industri seni untuk menemukan bakat baru dari pelbagai latar belakang.
"Kami sangat teruja untuk menganjurkan musim kedua ini dan harapan kami adalah agar acara ini dapat disiarkan di saluran TV swasta dan tempatan.
"Program ini akan memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk menyaksikan dan menyokong bakat tempatan." jelas pengerusi TFS musim 2, Alexander Chuan melalui kenyataan media.
Setelah ujibakat, 24 peserta terbaik akan beraksi di peringkat akhir dalam satu konsert besar-besaran, yang akan disaksikan oleh juri berpengalaman dan ribuan penonton.
Selain itu, tambah Pengarah Eksekutif TFS, Jade Morris meluahkan hasratnya untuk membawa pentas TFS ke persada antarabangsa terutama di kepulauan Borneo khususnya.
"Kami merancang untuk melibatkan lebih banyak lokasi di Borneo, termasuk Kalimantan, Brunei, dan Sarawak, untuk menjadikan TFS sebuah platform antarabangsa" katanya.
TFS komited membuka lebih banyak peluang kepada bakat baru untuk bersinar, diharap acara ini akan melahirkan bintang-bintang baru dalam industri seni tempatan amnya.