Runner bawa bungkusan dadah ditahan

Motosikal digunakan suspek membawa bungkusan dadah turut disita.

TAWAU : Tindakan berani seorang penghantar barang dan makanan (Runner) membawa bungkusan mengandungi dadah membawa padah apabila dia ditahan polis menerusi Ops Tapis, semalam.

Lelaki berusia 20 tahun itu, ditahan bersama sepuluh peket dadah dipercayai methamphetamine seberat 512.9 gram di kawasan tepi jalan Kampung Wakuba, di sini, jam 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek yang tidak mempunyai sebarang dokumen itu ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika melalui kawasan itu.

Menurutnya, sebelum itu suspek dilihat mengambil sesuatu dari dalam bakul motosikal yang ditunggangnya sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

"Bagaimanapun, sebaik anggota  memperkenalkan diri, suspek bertindak cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan sebelum lelaki itu berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai sepuluh paket lutsinar pelbagai saiz mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine keseluruhan seberat 512.9 gram," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jasmin berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah atau penyalahgunaan dadah. 

"Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 2 November depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis juga sedang giat mengesan rangkaian pengedaran dadah yang terlibat dalam kes ini," katanya.


Terbaru Lebih lama