Sabah catat 7,448 penempatan pekerjaan

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bergambar bersama para jemputan pada Karnival Kerjaya Mega Madani MYFutureJobs Negeri Sabah 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada Sabtu.


KOTA KINABALU: Sabah berjaya mencatatkan sebanyak 7,448 penempatan pekerjaan setakat 27 September 2024, satu angka yang amat membanggakan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, penempatan pekerjaan itu merupakan usaha Kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan pelbagai agensi untuk meningkatkan kebolehpasaran rakyat Sabah.

Beliau berkata, masih banyak cabaran yang perlu diatasi, termasuk meningkatkan kualiti latihan dan memastikan kemahiran yang diberikan selaras dengan keperluan industri.

“Saya menggesa kolaborasi strategik diteruskan antara kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta untuk memperluas peluang pekerjaan dan menyediakan lebih banyak latihan yang relevan kepada rakyat negeri ini”, katanya ketika merasmikan Karnival Kerjaya Mega Madani Myfuturejobs PERKESO Negeri Sabah Tahun 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Sabtu.

Beliau mahu kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta untuk sama-sama menggembleng tenaga dalam mengurangkan pengangguran dan memastikan setiap individu mendapat peluang pekerjaan yang setara, setimpal dengan kemahiran serta bakat mereka.

Katanya, usaha ini penting untuk memperkukuh ekonomi negara, meningkatkan taraf hidup rakyat, mengurangkan kemiskinan dan memastikan kesejahteraan sosial terjamin.

Menurutnya, Sabah Jobs Portal (SJP) dibawah kendalian Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dan Portal MYFutureJobs (MFJ) yang diperkenalkan oleh PERKESO akan digabungkan bagi memastikan ia mampu menyediakan perkhidmatan pencarian pekerjaan yang lebih efisien kepada rakyat Sabah.

“Saya berharap sistem MYFutureJobs dan Sabah Job Portal ini dapat direalisasikan secepat mungkin demi kebaikan rakyat Sabah. Integrasi ini akan memudahkan pencari kerja mendapatkan maklumat terkini dan membantu majikan mencari bakat yang sesuai.

“Dengan platform ini, diharapkan kadar pengangguran dapat dikurangkan dan meningkatkan kebolehpasaran rakyat Sabah”, katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri kini berada di landasan tepat menerusi pelan Human Capital Development Blue Print for Sabah (2021-2035) untuk memastikan ilmu kemahiran dan kepakaran belia serta modal insan, sentiasa kekal relevan disamping menjadi garis panduan bagi program pembangunan modal insan secara holistik di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus melaksanakan program kebolehpasaran dan latihan kemahiran termasuk TVET yang relevan dengan keperluan industri semasa serta menambah baik kemudahan dan alat bantuan latihan di institut latihan di bawah agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Katanya, pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) kini mula menunjukkan hasil yang positif, dengan pertumbuhan ekonomi semakin meningkat dan kesejahteraan rakyat semakin baik.

“Sebagai langkah strategik ke depan, kerajaan negeri menyokong penuh cadangan penubuhan Pusat Rehabilitasi PERKESO bertaraf antarabangsa pertama di Borneo agar dapat dilaksanakan dengan segera”, katanya.

Hajiji juga mahu Karnival Kerjaya anjuran PERKESO diperluaskan ke bandar-bandar lain dan pekan-pekan kecil kerana ia memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini.

“Penganjuran karnival sebegini juga mampu mewujudkan satu ekosistem pasaran buruh yang efisien dan memberi peluang terbaik kepada anak-anak pencari kerja di Sabah”, tegasnya.

Terbaru Lebih lama