Sabah Electricity nama baru SESB


KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) hari ini mengumumkan inisiatif penjenamaan semula sebagai Sabah Electricity bermula hari ini.

Langkah ini, menurut Pengerusi SESB, Datuk Seri Madius Tangau, menandakan permulaan baharu berteraskan perpaduan, profesionalisme, dan tanggungjawab terhadap alam sekitar sempena ulang tahun ke-26 syarikat utiliti tersebut.

Ia juga bertujuan untuk memperkukuh komitmennya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Mengenang pencapaian SESB sepanjang tahun lalu, ahli parlimen Tawau itu menegaskan kesungguhan SESB dalam mengatasi pelbagai cabaran dan memperbaiki kualiti perkhidmatan.

“Warga SESB kini bekerja sebagai satu pasukan yang progresif dan bersatu padu, berusaha untuk mengembalikan sinar nama SESB sebagai penyedia perkhidmatan utama,” katanya semasa pelancaran penjenamaan semula di Wisma KWSP.

Penjenamaan semula ini juga mencerminkan peralihan kuasa kawal selia tenaga kepada Kerajaan Sabah, satu pencapaian penting selepas 25 tahun penswastaan.

Transformasi ini, yang merangkumi logo baharu dan perubahan budaya kerja di semua peringkat kakitangan, menunjukkan komitmen SESB terhadap masa depan yang mampan dan mesra pelanggan.

Logo baharu yang berinspirasi daripada Gunung Kinabalu melambangkan kebanggaan dan ketabahan, sementara warna hijau dan biru mewakili komitmen SESB terhadap tenaga hijau dan peranan SESB sebagai pembekal utiliti elektrik di Sabah dan Labuan.

Madius turut menekankan kesungguhan SESB untuk mencapai sifar karbon menjelang tahun 2050, seiring dengan sasaran pembangunan mampan negara.

“Penjenamaan semula ini mencerminkan komitmen SESB terhadap nilai-nilai Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG), dan menandakan ikrar kami untuk masa depan berasaskan tenaga hijau,” katanya.

Selain itu, SESB juga telah memindahkan kaunter perkhidmatan pelanggannya ke bangunan baharu yang lebih selamat dan kondusif sejak 21 Oktober, demi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pelanggan serta kakitangan, setelah setahun beroperasi dari bangunan yang tidak selamat.

Terbaru Lebih lama