Sabah FC nafi laporan palsu mengenai nahas pesawat tragis

 

Kredit: Sabah FC


KOTA KINABALU- Sabah FC hari ini menafikan laporan palsu yang disebarkan oleh sebuah portal berita dalam talian yang mendakwa berlaku nahas pesawat tragis melibatkan pemain-pemain terbaik pasukan itu, di sini, semalam.

Pengurus Sabah FC, Rafie Robert, dalam kenyataan media berkata, berita tersebut tidak benar dan pihaknya sedang mempertimbang untuk membuat laporan polis agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang lagi.

Menurut Rafie, Sabah FC kini sedang menjalani latihan bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Tawau FA pada 12 Oktober ini.

“Beberapa pemain utama termasuk Stuart Wilkin, Dominic Tan, Daniel Ting dan Darren Lok telah dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan bagi perlawanan persahabatan menentang New Zealand di Auckland pada 14 Oktober.

“Laporan portal ini dilihat berniat jahat serta menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak pengurusan Sabah FC serta peminat bola sepak di negeri ini,” katanya dalam kenyataan media tersebut.

Rafie menambah, setakat ini, semua pemain Sabah FC berada dalam keadaan baik dan tidak ada kejadian yang dilaporkan seperti yang didakwa.

Rafie turut mengingatkan orang ramai, khususnya peminat bola sepak di Sabah, agar tidak percaya terhadap laporan yang sengaja menimbulkan kekeliruan pada masa kini.







Terbaru Lebih lama