Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melawat reruai selepas merasmikan "Supercharger Sabah 2024" di Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu pada Selasa. |
KOTA KINABALU - Sabah kini bersedia untuk mengorak langkah menjadi hab kemajuan teknologi dan inovasi di rantau ini, dengan pelbagai inisiatif yang sedang giat dilaksanakan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, integrasi teknologi dan inovasi adalah kunci penting dalam pembangunan ekonomi masa kini.
"Dalam usaha untuk memacu negeri ini ke hadapan, kerajaan negeri telah merangka satu visi yang jelas untuk memastikan Sabah menjadi sebuah hab inovasi yang dinamik dan berdaya saing di rantau ini.
"Salah satu contoh usaha ini adalah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu Sektor Pertanian, Perindustrian, Pelancongan. Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau," katanya ketika merasmikan 'SUPERCHARGER SABAH 2024' di Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Selasa.
Hajiji turut menjelaskan bahawa Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) memberi fokus kepada tiga teras utama, iaitu Sektor Pertanian, Perindustrian, Pelancongan; Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat; serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.
Menurut Hajiji, usaha ini merupakan sebahagian daripada strategi besar negeri Sabah untuk mencapai matlamat pembangunan yang mampan.
Dalam sektor pertanian, Hajiji menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan lebih RM33 juta kepada Sabah pada Julai lalu, sebagai usaha meningkatkan keterjaminan makanan di negeri itu dengan mengoptimalkan penggunaan tanah.
"Inisiatif seperti siri Program Supercharger yang memberi tumpuan kepada keterjaminan makanan amat penting dalam usaha kita menghentikan kebergantungan kepada import bekalan makanan.
“Justeru, seiring dengan Dasar Keterjaminan Makanan Nasional, Sabah berhasrat meningkatkan tahap sara diri dengan menggalakkan inovasi dalam sektor pertanian, penternakan, dan perikanan," katanya.
Hajiji turut menggariskan bahawa Sabah perlu memperkasakan teknologi moden dalam sektor pertanian, termasuk penggunaan SMART FARMING dan automasi untuk meningkatkan hasil dan kualiti produk.
Di samping itu, Hajiji turut memuji peranan UMS dalam memacu inovasi dan penyelidikan di negeri ini.
"Tidak ketinggalan penyelidikan terkemuka seperti ‘hybrid grouper’, ‘monkey malaria’, dan banyak lagi.”
“Pemilihan Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) UMS sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCOE) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia adalah kebanggaan rakyat Sabah dan bukti penyelidikan dan inovasi yang cemerlang oleh UMS", tambahnya lagi.
UMS telah mewujudkan ekosistem penyelidikan yang komprehensif melalui penubuhan empat kluster penyelidikan, iaitu Kejuruteraan dan Teknologi, Perubatan dan Sains Hayat, Alam Sekitar dan Sains Gunaan, serta Seni, Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Hajiji berkata, Supercharger Series 2024 adalah sebuah inisiatif strategik yang bertujuan memacu kerjasama, penglibatan, dan perkongsian pengetahuan dalam ekosistem Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan, dan Inovasi (R&D&C&I).
Dengan adanya program Supercharger di Sabah, Hajiji percaya bahawa rakyat negeri ini berpeluang membina ekosistem inovasi yang dinamik dan berdaya saing, sekali gus meletakkan Sabah di persada dunia sebagai hab inovasi yang unggul.