KOTA KINABALU: Sabah yakin mampu mencapai sasaran untuk memperluas Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) kepada 30 peratus daripada keluasan tanah Sabah atau kira-kira 2.2 juta hektar, menjelang tahun 2025, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, pada masa ini Jabatan Perhutanan Sabah sedang mengenal pasti kawasan seluas lebih kurang 220,000 hektar lagi untuk diwartakan sebagai kawasan TPA, dalam usaha untuk mencapai sasaran 30 peratus TPA berkenaan.
“Jabatan Perhutanan Sabah telah mencapai pelbagai kejayaan sejak penubuhannya 110 tahun lalu termasuk peningkatan TPA di negeri ini yang telah meningkat kepada 2.0 juta hektar, atau kira-kira 27.3 peratus daripada keseluruan keluasan tanah Sabah, pada masa ini.
“Dalam pada itu, jabatan juga sedang dalam peringkat akhir untuk membuat pindaan kepada Enakmen Hutan 1968, Pindaan ini penting untuk memodenkan kerangka tadbir urus hutan Sabah dan perundangan berkaitan perhutanan, untuk memastikan ia selaras dengan realiti semasa.
“Legasi Jabatan Perhutanan Sabah sepanjang 110 tahun yang lalu memberikan asas yang kukuh untuk perubahan yang diperlukan ini, dan mencerminkan komitmen Sabah untuk menyesuaikan diri kepada cabaran dunia moden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-20 Harmonizing Forestry Towards Sustainability ’ dan sambutan Ulang Tahun Ke-110 Jabatan Perhutanan Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, pada Selasa.
Beliau turut berasa bangga dengan Jabatan Perhutanan Sabah kerana mencapai beberapa kejayaan penting dalam tempoh 110 tahun penubuhannya.
“Antara pencapaian penting itu ialah sedang memuktamadkan Pelan Induk Hutan Negeri Sabah, berjaya melancarkan Pelan Tindakan Strategik Sabah Ke-2 dan Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan selama 15 tahun dari 2022 sehingga 2036.
“Hari ini, satu lagi kejayaan Jabatan Perhutanan Sabah iaitu pelancaran Pelan Tindakan Bakau Sabah (SMAP), yang dihasilkan dengan usaha bersama Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Sabah. Objektif utama SMAP ini adalah untuk menyediakan garis panduan dan arah transformasi untuk perancangan dan pengurusan hutan bakau di Sabah.
“Namun semua kejayaan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kita leka kerana pelbagai cabaran perlu dihadapi terutamanya ancaman terhadap ekosistem hutan seperti isu perubahan iklim dan perubahan guna tanah untuk tujuan pertanian dan pembangunan,” katanya.
Sementara itu, katanya Jabatan Perhutanan Sabah juga telah dilantik sebagai Sekretariat untuk Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCAC) bagi memacu agenda perubahan iklim negeri.
"Majlis Tindakan ini menyelaras usaha untuk mengurangkan dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim, mengintegrasikan perhutanan ke dalam strategi iklim yang lebih luas.
Sebagai contoh, jualan kredit karbon daripada Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut ataupun lebih dikenali sebagai Kuamut Rainforest Conservation Project (KRCP) di Sabah menerusi Bursa Carbon Exchange (BCX) merupakan penjualan kredit karbon pertama Malaysia di bawah BCX.
“Setakat ini, Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut telah berjaya menjana lebih kurang 4.2 juta Unit Karbon Disahkan ataupun Verified Carbon Units (VCUs),” katanya.
Mengenai persidangan itu, beliau berharap agar semua peserta dapat terlibat aktif dalam perbincangan dan berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing bagi memastikan sektor perhutanan kekal memainkan peranan penting dalam ekonomi negara dan kelestarian alam sekitar.
“Ini juga bersesuaian dengan tema persidangan pada tahun ini iaitu “Harmonizing Forestry Towards Sustainability” yang mana selaras dengan matlamat kelestarian global, terutamanya Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Sustainable Development Goals-SDGs), yang menekankan tanggungjawab holistik untuk mengurus dan melindungi sumber hutan untuk generasi akan datang,” katanya