Semua pihak perlu budayakan etika penyebaran maklumat

 

Kredit: GRS 

TAWAU: Semua pihak perlu membudayakan etika penyebaran maklumat kepada orang ramai supaya tidak mencetuskan sebarang kesan negatif khususnya isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, berikutan penyebaran maklumat hari ini yang begitu pantas dan tanpa sempadan sukar bagi sesiapa sahaja termasuk kerajaan untuk mengawalnya.

Justeru katanya, setiap individu perlu dididik mengenai etika, peraturan dan undang-undang mengenai cara yang boleh dan tidak boleh disebarkan kepada orang lain.

“Hari ini media sosial diklasifikasikan sebagai media baharu dalam kehidupan kita. Perkembangan teknologi digital menyebabkan wujudnya media sosial di dalam dunia siber.

“Medium ini juga merupakan salah satu bentuk interaksi yang baharu dalam kehidupan masyarakat kerana boleh berhubung tanpa perlu bersemuka dan berada di dunia maya,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Penerangan Gagasan Rakyat Sabah Zon 11 & 12 (Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Kalabakan) di sini hari ini.

Menurutnya, media sosial juga dapat memudahkan segala urusan masyarakat sama ada urusan peribadi mahupun urusan pekerjaan.

Bagaimanapun, katanya, kewujudannya tanpa kawalan kendiri juga mampu memberi ancaman kepada masyarakat.

“Jika disalahgunakan maklumat di media sosial akan berlakukan seperti jenayah siber, provokasi, fitnah, propaganda dan sebagainya.

“Selain itu, ia juga boleh mencetuskan pergaduhan dan perpecahan dalam kalangan rakyat, malah boleh meruntuhkan sebuah kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, setiap individu perlu mendidik ahli keluarga dan orang-orang di bawah pimpinannya agar mengetahui faktor penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat.

“Mereka juga perlu mengenal pasti impak penggunaan media sosial dan langkah-langkah bagi membendung penyalahgunaan media sosial.

“Media baharu jika dibiarkan tanpa etika dan didikan boleh mencetus pergaduhan, penipuan, fitnah, menggugat ketenteraman awam, malah ada yang lantang mencabar kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan negara,” katanya.

Nizam berkata, setiap diri sewajarnya berpegang kepada tiga aspek utama untuk dibudayakan dalam masyarakat iaitu berteraskan keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab yang mengutamakan kawal selia kendiri.

“Setiap individu perlu ada budaya menggunakan bahasa yang betul ketika berkomunikasi di internet, tatacara menggunakan media sosial secara positif serta amalan seperti kempen - tidak pasti jangan kongsi.

“Semua ini penting demi melestarikan ketamadunan generasi akan datang supaya mereka lebih terdidik untuk membuang segala bahan atau konten sampah, fitnah dan perkara-perkara negatif yang diterima,” katanya.
Terbaru Lebih lama