Siling stesen minyak runtuh, enam kenderaan dihempap

Foto ihsan Bomba

KINABATANGAN– Sebanyak enam buah kenderaan dihempap runtuhan siling stesen minyak Petronas di Batu 8, Bukit Garam, Kinabatangan di sini, pada petang Isnin.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jalalludin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.47 petang.

Seramai tujuh anggota dikerahkan dan tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.

“Satu kejadian runtuhan siling dilaporkan berlaku di stesen minyak Petronas lalu menghempap enam buah kenderaan iaitu Perodua Alza, Perodua Myvi, Toyota Vigo, Proton Exora, Proton X70, dan Isuzu D-Max.

"Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan tercedera dalam insiden tersebut,” jelas Azlan melalui satu kenyataan.

"Pasukan bertindak mengalihkan runtuhan siling dan memastikan tiada bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.59 petang," katanya.
Terbaru Lebih lama