TAWAU: Seorang pesara kerajaan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM16,000 untuk mempercepatkan proses pindah milik tanah di daerah Tawau pada tiga tahun lalu.
Menurut sumber, suspek yang berusia lingkungan 60-an telah ditahan pada jam 10.30 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di SPRM cawangan Tawau.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai telah meminta dan menerima rasuah untuk mempercepatkan proses pindah milik tanah seluas 12 ekar yang terletak di daerah Tawau,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau esok bagi proses pertuduhan,” katanya