Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini hari ini. |
TAWAU: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini, atas 15 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu membabitkan tuntutan pembayaran keseluruhan RM655,512.00, 11 tahun lalu.
Dokumen palsu itu digunakan sebagai tulen oleh kedua-dua tertuduh bagi menuntut bayaran kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Tertuduh iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Junaidi Abdul Rahman, 63, dan isterinya, Pegawai Eksekutif Albina Ogor Abdullah, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan mereka dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.
Mengikut semua pertuduhan Junaidi didakwa dengan curang menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen kepada SESB bagi pembayaran sejumlah 260,000 liter diesel ke Stesen Janakuasa Tawau, di sini antara 8 hingga 11 April 2013.
Tuntutan itu menyebabkan SESB membayar sebanyak RM655,512 kepada syarikat Petrohub Corporation Sdn Bhd (PCSB) milik tertuduh yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.
Tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Albina turut didakwa atas 15 pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan..
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifie dan Pegawai Pendakwa SPRM Sabah Norsham Saharom, sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Jason membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan berserta syarat tambahan dan menetapkan 3 Disember depan untuk sebutan semula kes.