Suryady suarakan kebimbangan isu kritikal sektor kesihatan


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa isu kritikal dalam sektor kesihatan negara yang turut memberi kesan kepada penduduk di Tawau, Sabah.

Dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, beliau membangkitkan isu peningkatan jumlah doktor yang berhenti awal dari perkhidmatan disebabkan beban kerja yang berat, tekanan mental dan fizikal, serta kekurangan peluang kenaikan pangkat.

"Perkara ini dapat dilihat apabila hampir semua Pegawai Perubatan dan Pegawai Perubatan Siswazah (Houseman), bekerja lebih masa setiap hari hingga mengakibatkan mereka kelelahan.

"Kesannya, ada yang mengambil jalan pintas akibat tekanan yang dihadapi untuk membunuh diri, isu ini adalah sensitif namun inilah hakikat yang terjadi dalam sektor kesihatan negara saban tahun.

"Oleh itu, langkah-langkah proaktif perlu diambil oleh pihak berwajib untuk menambah baik suasana kerja dan menyediakan insentif yang lebih menarik demi mengekalkan khidmat para doktor dalam sistem kesihatan negara," katanya.

Selain itu, Suryady turut menyentuh berkenaan kenaikan Elaun Tugas Atas Panggilan di antara RM55 dan RM65 dan ingin mendapatkan kepastian bilakah ianya akan dikuatkuasakan.

Tambahnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu memastikan jumlah tenaga kerja kakitangan perubatan mencukupi di Hospital Tawau memandangkan dianggarkan lebih kurang 1000 orang kakitangan diperlukan bagi menampung keperluan Hospital Tawau.

Suryady turut menekankan keperluan meluluskan pembinaan hospital baharu di Tawau yang sangat uzur dan kekurangan fasiliti kesihatan bagi menampung keperluan penduduk setempat.



Terbaru Lebih lama