TAWAU : Hasrat Tawau FA membuat kejutan pada perlawanan Persahabatan menentang Sabah FC tidak kesampaian apabila tewas 2-1 di Stadium Utama Kompleks Sukan Tawau, di sini, malam tadi.
Perlawanan yang disaksikan hampir sepuluh ribu penonton dari sekitar daerah ini termasuk Kalabakan, Kunak dan Semporna adalah aksi kedua Sabah dalam siri jelajah bertemu peminat dan bermain bersama pasukan tempatan.
Serangan pantas pasukan Sabah FC seawal minit pertama sebaik sepak mula menerusi hantaran jauh pemain pertahanan Rawilson Batuil berjaya menemui Gabriel Schmegel Wotter Peres yang kemudian melakukan rembatan leret di penjuru kanan menewaskan penjaga gawang Tawau FA, Datu Armin.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang mendominasi hampir keseluruhan permainan hampir menambah jaringan pada minit ke-7 namun hantaran lintang pemain sayap Saddil Ramdani berjaya ditepis perjaga gol.
Sabah bagaimanapun berjaya memperolehi jaringan kedua menerusi sepakan percuma Saddil dari luar kotak penalti sebelum gol disempurnakan sekali lagi oleh Gabriel yang mudah menolak masuk bola ke gawang Tawau.
Gabriel yang juga pemain pertahan berasal dari Brazil itu hampir mencatat hatrik namun tandukannya pada minit ke-14 yang menerjah jaring namun tidak disahkan kerana 'off said'.
Pasukan Tawau sesekali melancarkan serangan balas untuk mecari gol dan peluang terbaik diperolehi melalui sepakan percuma minit ke-22 namun sepakan deras bekas pemain Sabah Syahrul Azhar Ture, sedikit melewati palang.
Bersambung di separuh masa kedua, biarpun ketinggalan 0-2 tidak melenturkan semangat skuad kendalian Zalimi Matali tampil garang memburu gol.
Tawau akhirnya berjaya memperolehi gol pada minit-minit akhir perlawan apabila sepakan percuma di luar kotak penalti oleh Syahrul Azhar, menerjah jaring sebelum perlawanan berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada Sabah 2-1.