Terlepas tali gantung, lelaki Indonesia dipenjara 30 tahun, 12 sebatan

 

Asrizal Yusuf, 30, terlepas hukuman mati dipenjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini. SS/art


TAWAU : Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan keatas lelaki warga Indonesia selepas didapati bersalah mengedar 55.86 gram dadah jenis methamphetamine, tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol, membuat keputusan itu terhadap Asrizal Yusuf, 30, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, di akhir kes pembelaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua orang anak itu didakwa mengedar 55.86 gram dadah berbahaya jenis methamphetamine di tepi jalan Kampung Sharip Jalan Silam, Lahad Datu, kira-kira jam 9 pagi, 4 Mei tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, dan hendaklah jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dihukum dengan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang juga pemegang pasport Indonesia itu, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 4 Mei 2023.



Terbaru Lebih lama