Tiga rumah hangus terbakar di Kampung Pasir Putih Tawau

Foto Ihsan BBP Tawau. 

TAWAU: Sekurang-kurangnya tiga buah rumah hangus terbakar dalam kejadian di Lorong Melur 4 Kampung Baru Pasir Putih, di sini awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.19 pagi.

Katanya, sepasukan 20 anggota dan empat buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Pasukan bomba mendapati tiga rumah jenis separuh kekal musnah terbakar dan operasi terus dijalankan supaya api tidak terus merebak ke kawasan lain,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan tiga aliran dari sumber air jentera dan pili bomba berhampiran.

Jemishin berkata, setakat ini kebakaran hanya membabitkan kerosakan harta benda sahaja, tiada laporan mengenai kecederaan atau kemalangan jiwa yang dialami mangsa.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.21 pagi.

“Siasatan lanjut akan dijalankan oleh pasukan forensik BBP Tawau bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian mangsa,” katanya.

Terbaru Lebih lama