Tuduhan Suhaimi terhadap GRS di dasari emosi, bukan fakta



KOTA KINABALU: Kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menuduh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal membawa kemajuan Sabah dilihat beremosi dan tidak didasari fakta.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Suhaimi dilihat sengaja cuba memutar belitkan soal prestasi GRS selama ini.

Katanya, pembangunan projek infrastruktur dilaksanakan, termasuk pembinaan jalan, bekalan air bersih, dan elektri mula menunjukkan kemajuan positif serta mendapat sambutan rakyat di Sabah.

“Kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada program pembangunan infrastruktur serta kemudahan asas yang kritikal iaitu bekalan air dan elektrik.

“Kerajaan sudah membuktikan komitmen ini dengan peruntukan terbesar dalam Belanjawan Negeri 2024 sebanyak RM2.63 bilion

“Daripada junlah itu, RM1.72 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya Sabah dan jabatan berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, penyelesaian bagi kebanyakan isu memerlukan masa serta perancangan yang sangat teliti.

“Sepanjang tempoh empat tahun, kerajaan negeri mengutamakan infrastruktur yang memiliki keutamaan termasuk loji rawatan air dan jalan-jalan perhubungan yang penting.

“Semua usaha ini penting untuk pembangunan jangka panjang Sabah bagi mengurangkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia adalah topik yang kompleks,” katanya.

Menurutnya, Suhaimi yang menuduh GRS tidak berusaha dalam merapatkan jurang Pembangunan adalah tuduhan yang terburu-buru, tanpa melihat inisiatif dilasanakan Kerajaan Negeri.

“GRS berusaha mengurangkan jurang tersebut melalui pelbagai inisiatif dan program tentang usaha penghapusan kemiskinan tegar.

“Ini adalah inisiatif yang perlu kita sokong untuk melaksanakan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah langkah seterusnya untuk menyokong golongan yang memerlukan,” katanya

Nizam berkata, krisis politik adalah cabaran dihadapi semua kerajaan, bukan hanya GRS sekali gus memainkan peranan yang penting dalam menjaga kestabilan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Katanya, kestabilan politik tidak hanya terletak pada kesatuan parti, tetapi juga pada kemampuan untuk berkolaborasi dan membina hubungan yang produktif dengan parti-parti lain.

“Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dilihat menunjukkan komitmen untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan rakyat Sabah.

“Berkaitan hal pertumbuhan ekonomi, GRS melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merangsang sektor-sektor utama seperti pelancongan dan perikanan,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi Sabah menunjukkan pemulihan yang positif, dengan kadar pertumbuhan negatif 7.5 peratus pada tahun 2020 beransur pulih kepada 1.5 peratus 2021 dan 3.5 peratus 2022 serta 4.0 peratus pada tahun lalu.

“KDNK negeri meningkat dari RM77.8 bilion pada tahun 2020 kepada RM78.9 bilion pada tahun 2021, dan RM81.9 bilion pada tahun 2023, tiada sebab untuk mengatakan kerajaan ini gagal.

“Pada masa ini, kita juga perlu mempertimbangkan banyak projek dalam fasa pembinaan, seperti loji-loji rawatan air (LRA) dan lebuh raya Pan Borneo memberikan impak positif dalam jangka masa pendek dan sederhana,” katanya.

Katanya, kritikan dilontarkan perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas manakala GRS komited membawa kemajuan kepada Sabah dan sedang berusaha untuk mengatasi cabaran yang ada.

“Mari kita bersama-sama berusaha untuk memajukan negeri ini dengan cara yang konstruktif, dan bukannya merosakkan semangat kerjasama yang diperlukan untuk kemajuan Sabah.

“Berkat usaha serta inisiatif dilakukan Kerajaan Negeri, kita berada pada landasan yang betul dan semakin berdaya saing mengikut acuan dan hala tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

 

Terbaru Lebih lama