Pasukan bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita dari kenderaan yang terjunam ke gaung di Jalan Tamparuli-Ranau, berhampiran Murug Turug Eco Tourism. |
TAMPARULI– Seorang wanita terselamat selepas kenderaan pacuan empat roda Isuzu Dmax yang dipandunya terjunam ke gaung sedalam 60 meter di Jalan Tamparuli-Ranau, berhampiran Murug Turug Eco Tourism, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelemat (BBP) Tuaran, Mohammad Nor Amit berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.09 petang berhubung kejadian tersebut.
Seramai 8 anggota bomba dan dua jentera, termasuk sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kejadian melibatkan mangsa, Sahrinah Sanawing, 22, mengalami kecederaan dan berjaya dibawa naik menggunakan tali ke atas jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, mangsa akan diberi rawatan awal oleh KKM dan dibawa ke Hospital Tuaran bagi mendapatkan rawatan susulan.
Operasi ditamatkan pada jam 3.15 petang setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud.