TAWAU: Warga emas antara lapan lelaki kaki judi sabung ayam yang ditahan polis dalam satu serbuan di kawasan Kampung Pasir Putih, di sini petang semalam.
Mereka yang berusia 29 hingga 72 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Tawau, kira-kira jam 5 petang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai peningkatan aktiviti judi sabung ayam di kawasan mereka.
Katanya, sepasukan polis terus bertindak membuat serbuan ke atas gelanggang sabung ayam di kawasan kampung berkenaan.
“Pasukan serbuan kemudian berjaya menahan seramai lapan individu terdiri daripada empat warga tempatan dan empat lagi warga asing ditahan.
“Polis turut merampas empat ekor ayam sabung yang masih hidup dan dua lagi sudah mati dipercayai akibat aktiviti sabung ayam berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 kerana penganiayaan terhadap haiwan.
Sehubungan itu, Jasmin menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti jenayah atau menyalahi undang-undang supaya melaporkan kepada pihak polis.
“Laporan boleh disalurkan maklumat melalui talian hotline Polis Daerah Tawau di talian 089-772121 atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP),” katanya.