Warga emas rentung dalam kebakaran di Kudat

 

Gambar ihsan bomba

KUDAT: Seorang wanita warga emas ditemui rentung selepas rumah kediamannya musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Pituru, Kudat, di sini pada Ahad.

Mangsa, Lo Hiong Lan berusia 76 tahun yang tinggal sendirian ditemukan di kawasan ruang tamu selepas kebakaran berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Ishak Bin Jabas memaklumkan pihaknya menerima panggilan kebakaran berkenaan jam 10.46 malam berhubung kejadian itu.

Pasukan bomba dari BBP Kudat telah dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak 45 kilometer dari balai dan tiba pada jam 10.46 malam.

"Kebakaran turut melibatkan sebuah rumah tidak kekal berkeluasan 40'x20' dan sebuah kenderaan Perodua Kembara turut terbakar 100%,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kebakaran telah dipadamkan oleh orang kampung sebelum ketibaan Pasukan Bomba.

Mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Pemeriksaan di kawasan sekitar telah dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain wujud dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 02:25 pagi.
Terbaru Lebih lama