Bicara Kes bunuh pelajar Kolej Vokasional LD: Saksi nampak Mohamad Nazmie dipukul, tidak lapor kerana takut dipukul.

Seramai 13 remaja di yang tuduh membunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, hadir pada prosiding hari ke-lima di Mahkamah Tinggi Tawau di sini hari ini.


TAWAU : Dua saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, mereka melihat Allahyarham Mohamad Nazmie dipukul di bilik asrama 7 Resak Kolej Vokasional Lahad, kira-kira 9 malam 21 Mac lalu.

Dalam persidangan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol, kedua-dua saksi pendakwaan yang masing-masing memberi keterangan secara berasingan memaklumkan ada melihat tertuduh pertama, ketiga, keempat, kelima dan keenam memukul mangsa, sebelum membawanya ke bilik asrama 5 Belian.

Manakala, saksi kelapan pula memberitahu melihat tertuduh pertama menumbuk muka si mati yang mesra dengan panggilan "Ijat" selepas didakwa mencuri wang RM50 dan RM20 milik tertuduh ketiga dan keempat.

Prosiding pada sesi petang hari ini dijalankan di sebalik penghadang berwarna hitam berikutan permohonan pihak pendakwaan memandangkan kedua-dua saksi berkenaan yang masing-masing berumur 17 tahun adalah di bawah umur.

Bagaimanapun, saksi ketujuh dan kelapan itu bersetuju kepada soalan dan cadangan peguambela semasa pemeriksaan balas bahawa mereka tidak memaklumkan kejadian itu kepada warden asrama kerana tidak mahu terlibat dan takut dipukul.

Sementara itu, saksi kelapan (PW8) semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri, turut memaklumkan dia tidak membuat laporan berhubung kejadian itu kerana takut dipukul.

Kesemua 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun itu berdepan tuduhan membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac 2024.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohd Chinki, dan Chen Wen Jye, manakala, lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivian Thien, Jhesseny P. Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Pasukan Pendakwaan pula diketuai Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, bersama Nur Batrisyia Mohd Khusri, dan Ng Juhn Tao.

Perbicaraan bersambung esok. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama