
TAWAU : Lazimnya, ramai yang mengetahui restoran makanan segera menyediakan khidmat pandu lalu, namun jangan terkejut Hospital Tawau juga menawarkan perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu bermula hari ini.
Beroperasi setiap hari kecuali pada Sabtu dan Ahad, Farmasi Pandu Lalu adalah inisiatif untuk memudahkan pesakit mendapatkan ubat-ubatan dengan lebih cepat dan selesa tanpa perlu berada di dalam bangunan hospital.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Asits Sanna berkata, inisiatif itu bukan sahaja memudahkan akses kepada ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan tetapi juga mengutamakan keselamatan dan keselesaan pesakit.
Menurutnya, perkhidmatan FPL diperkenalkan sejak 2019 lagi, namun disebabkan tiada tapak dan bangunan yang sesuai, Farmasi hospital Tawau terpaksa berkongsi fasiliti Farmasi Pandu Lalu di Klinik Kesihatan Kubota di Jalan Chong Thien Vun.
Jelas Dr Asits lagi, sebanyak tujuh buah hospital dan enam klinik kesihatan di seluruh Sabah yang menyediakan dan menawarkan perhidmatan FPL.
Sementara itu, pesara tentera, Abdul Latif Othman, 55 , mengalu-alukan langkah yang ambil pihak Hospital Tawau yang menawarkan perkhidmatan itu.
Katanya, pesakit tidak perlu beratur panjang di kaunter farmasi dalam bangunan hospital atau klinik kesihatan menjadikan proses mengambil ubat menjadi lebih pantas, terutama bagi mereka yang sudah membuat tempahan ubat lebih awal.
"Ambil ubat secara Pandu Lalu lebih fleksibiliti, biasanya saya datang ambil ubat pada waktu yang sesuai tanpa perlu meluangkan masa yang lama di kaunter Farmasi," katanya yang mengidap darah tinggi.