JKNS akan laksana siasatan dalaman susulan kemalangan kereta api di Putatan



KOTA KINABALU: Jabatan Kereta Api Sabah (JKNS) bakal melaksanakan siasatan dalaman susulan kemalangan melibatkan wanita dan anak lelakinya yang maut dilanggar kereta api ketika melintas landasan dekat Kampung Petagas, semalam.

Pengarah JKNS, Ir Mohammad Safri Abdul Habi berkata pihaknya akan mengaktifkan lembaga siasatan bagi menyiasat keadaan sekitar lokasi kemalangan terbabit.

"Kami akan mengaktifkan lembaga penyiasat untuk (melakukan) siasatan dalaman terhadap operasi kami. Pada masa yang sama, kami telah melakukan tindakan dengan membuat laporan polis.

"Kami menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mereka," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mengulas mengenai kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan pejalan kaki di kawasan itu, beliau berkata pihaknya melaksanakan langkah keselamatan dimana penambah baikan berterusan akan dibuat dari semasa ke semasa.

"Kita telah memasang pintu pagar, tetapi tindakan lanjut akan dibincangkan. Mesyuarat penyelarasan akan diadakan dengan jabatan lain seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengenal pasti cara meningkatkan keselamatan pejalan kaki di kawasan itu," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama