Kerajaan negeri sokong NGO anjur kempen kekeluargaan

Pembantu Menteri, Nizam ketika merasmikan Bengkel Perundangan Syariah berkaitan perkahwinan dan penceraian, di sini, semalam. 

TAWAU: Kerajaan negeri menyokong penuh badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang mahu menganjurkan kempen kekeluargaan bagi mengurangkan isu-isu berkaitan perceraian di negara ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, isu perceraian dalam kalangan masyarakat Islam difahamkan semakin meningkat terutamanya melibatkan pasangan muda.

Katanya, masalah ini perlu diberi perhatian semua pihak sama ada agensi kerajaan berkaitan atau NGO Islam supaya kes-kes sebegini dapat dikurangkan serta dibendung lebih awal.

“Kita berharap NGO Islam dapat menganjurkan bengkel kesedaran berkaitan kekeluargaan untuk memberi lebih banyak pengetahuan tentang hidup harmoni berumah tangga khususnya kepada pasangan muda.

“Orang muda perlu diberikan kefahaman tentang maksud dan tujuan sesuatu perkahwinan supaya masing-masing faham peranan mereka sebagai pasangan suami isteri,” katanya.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Perundangan Syariah berkaitan perkahwinan dan penceraian, di sini, semalam.

Bengkel berkenaan adalah anjuran Persatuan Muslimah Muallaf Sabah dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).

Mengulas lanjut, Nizam berkata, kerajaan negeri menerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sentiasa memberikan sokongan dan bantuan untuk program-program kekeluargaan.

“MUIS turut menyediakan peruntukan untuk NGO Islam yang mahu melaksanakan sebarang program yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Nizam menzahirkan syabas dan tahniah kepada Persatuan Muslimah Muallaf Sabah kerana berjaya menganjurkan program ini.

Katanya, difahamkan seramai 100 orang peserta dalam kalangan muallaf atau saudara baharu menyertai program yang diadakan kali ini.

“Bengkel ini dilihat dapat memberikan semua peserta panduan berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah supaya dapat memperbaiki lagi kehidupan mereka sebagai suri rumah atau isteri.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak MUIS kerana banyak membantu Persatuan Muslimah Muallaf Sabah untuk terus aktif menjalankan aktiviti bermanfaat,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama