![]() |
Ahmad Kamarudin dan Tursinah Ibrahim bersama skrol ijazah yang diperoleh arwah anak, Nornazirah Ahmad Kamarudin - ihsan UMS |
KOTA KINABALU: Suasana Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-26 menjadi hiba buat bapa kepada Allahyarhamah Nornazirah Ahmad Kamarudin yang telah menerima Ijazah Doktor Kesihatan Awam Secara Anumerta pada sidang pertama konvokesyen.
Nornazirah yang berusia 36 tahun telah menyelesaikan kajian tesisnya dalam bidang Doktor Kesihatan Awam bermula beberapa tahun yang lalu.
Walau bagaimanapun, hajat arwah tidak kesampaian untuk menghadiri majlis yang penuh bersejarah kerana telah meninggal dunia pada 18 April lepas akibat kanser ovari.
Pernah berkhidmat di Klinik Kesihatan Penampang sebelum meneruskan pengajian dalam Ijazah Doktor Falsafah, arwah telah mendirikan rumah tangga selama empat tahun dan berimpian untuk mendapatkan cahaya mata.
Ahmad Kamarudin Ibrahim, 65, yang mewakili arwah pada sesi pengurniaan, tampak sebak namun dengan rasa bangga menerima skrol ijazah tersebut daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Beliau menzahirkan rasa terharu kerana walaupun anaknya sudah meninggal dunia, namun usaha dan dedikasi Nornazirah.tetap diiktiraf.
“Terima kasih kepada pihak UMS yang selama ini membimbing anak saya walaupun tak sampai ke penghujungnya, tapi Alhamdulillah kerana usahanya, arwah berjaya menyiapkannya,” katanya.
Ibu kepada Nornazirah, Tursinah Ibrahim, 64, turut berasa pilu dan tersentuh apabila mengimbau kembali perjalanan anaknya yang tidak pernah putus asa untuk mendapatkan gelaran doktor.
“Arwah merupakan anak yang solehah, tidak suka menyusahkan orang dan kuat semangat, walaupun arwah sakit tetapi masih membuka laptopnya untuk menyiapkan tesis.
“Sekiranya arwah mempunyai hutang dengan rakan dan pihak UMS, tolong maklumkan kami, Insya-Allah kami akan uruskan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan UMS.
Allahyarhamah Nornazirah merupakan salah seorang daripada 4,493 graduan yang dianugerahkan ijazah pada Konvokesyen UMS kali ini.