![]() |
Tangkap layar dan rakaman video tular kejadian sebuah kereta yang merempuh pintu kaca mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank di Jalan Mahkamah dekat sini, awal pagi tadi. |
TAWAU : Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan merempuh pintu kaca mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank di Jalan Mahkamah dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu, pemandu terbabit dipercayai dalam keadaan mabuk itu melanggar beberapa buah kenderaan lain sebelum merempuh pintu kaca mesin juruwang automatik (ATM) RHB Bank.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta jenis Proton Saga berumur 25 tahun dan memandu seorang diri dari pusat bandar menuju ke rumahnya di Tanjung Batu.
"Hasil siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai lesen memandu selain memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan dan kerosakan harta benda.
"Bagaiamanapun kemalangan itu tidak melibatkan sebarang kecederaan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Jasmin berkata, susulan itu pemandu telah ditangkap untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020).
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi kira-kira lapan saat yang memaparkan kejadian itu tular di media sosial.