![]() |
Abdul Rahman (tengah) bersama barisan pengurusan dan kakitangan UMS pada sambulan Jubli Mutiara UMS pada Khamis - ihsan UMS |
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakar sejarah gemilang sempena Sambutan Jubli Mutiara, menandakan tiga dekad pencapaian luar biasa sebagai institusi pengajian tinggi.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor dalam syarahan perdananya berkata, UMS telah berjaya melahirkan graduan yang berkualiti dan memenuhi pasaran kerja.
“Kebolehpasaran graduan (GE) menjadi salah satu indikator utama keberkesanan pendidikan tinggi. Di UMS, kadar GE telah meningkat daripada 54.7 peratus pada tahun 2014 kepada 98.5 peratus pada tahun 2023.
“Alumni adalah wajah sebenar sesebuah institusi. Sinergi antara alumni dan universiti terus mengukuhkan UMS sebagai pusat pembinaan bakat.
“UMS kini mempunyai hampir 18,000 pelajar termasuk 648 pelajar luar negara. Setelah tiga dekad UMS boleh berbangga dengan jumlah alumninya sebanyak 91,530 orang dari seluruh pelusuk dunia,” katanya.
Tambah beliau, pengantarabangsaan merupakan ikhtiar kolektif universiti dalam meluaskan jangkauan serta pengaruhnya di pentas global.
“Di UMS strategi pengantarabangsaan disusun secara holistik melalui pelbagai inisiatif. Dengan 169 perjanjian aktif merangkumi 18 negara, UMS mengukuhkan visibiliti antarabangsa melalui Memorandum Persefahaman (MoU), Memorandum Perjanjian (MoA) dan Surat Niat (LoI),” tambahnya.
Dalam majlis sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata kejayaan UMS pada hari ini merupakan hasil usaha gigih, dedikasi dan kerjasama semua pihak, baik daripada barisan pengurusan tertinggi sehinggalah kepada staf sokongan dan pelajar.
“Sokongan daripada kerajaan, masyarakat dan pelbagai pihak berkepentingan juga menjadi faktor penting yang mendorong kejayaan universiti ini.
“Sambutan 30 tahun ini bukan sahaja untuk mengenang pencapaian masa lalu tetapi juga untuk merancang masa depan yang lebih gemilang,” katanya lagi.