![]() |
Seorang wanita berusia 19 tahun terperangkap di luar koridor apartment di Jalan UMS, Sepanggar. |
KOTA KINABALU: Seorang wanita berdepan detik cemas akibat terperangkap di luar koridor di sebuah apartment di Jalan UMS, Sepanggar, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa berusia 19 tahun terbabit bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.15 malam.
Katanya, sepasukan anggota bomba bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 17 kilometer dari balai bomba.
"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati seorang mangsa wanita terperangkap di antara koridor di luar beranda rumah di tingkat enam.
"Pasukan bomba dengan lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) menggunakan tali dan juga harness pada penyelamat dan juga pada mangsa untuk dibawa turun pada tingkat yang sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum berjaya menyelamatkan mangsa.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Selepas mangsa berjaya diselamatkan dan dipastikan tiada kecederaan, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Pasukan bomba juga melakukan pemantauan susulan bagi memastikan lokasi kejadian selamat sebelum menamatkan operasi jam 11 malam" katanya.