TAWAU: Sebanyak 26,200 batang rokok pelbagai jenis disyaki diseludup dari negara jiran berjaya dirampas dalam satu serbuan di kawasan jambatan Kampung Titingan di sini, semalam.
Semua rokok tersebut dirampas menerusi OP Taring Landai (OP Kontraban) yang dijalankan oleh Unit Risikan Marin Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau, pada jam 5.30 pagi.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata pihaknya menerima maklumat risikan berkaitan aktiviti penyeludupan di kampung berkenaan.
Katanya, sepasukan anggota PPM menjalankan pemantauan di kawasan sekitar jambatan kampung berkenaan yang dipercayai dijadikan tempat pemunggahan sementara rokok seludup dari negara jiran.
“Hasil pemantauan di kawasan berkenaan telah mengesan dua lelaki yang sedang memunggah beberapa kotak dalam keadaan mencurigakan.
“Namun, kedua-dua suspek terbabit bertindak melarikan diri masuk ke perkampungan atas air sebaik menyedari kehadiran pasukan PPM,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas kotak yang ditinggalkan suspek menemukan pelbagai jenama rokok dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran di daerah Tawau.
“Semua rampasan rokok yang dianggarkan bernilai RM38,580 itu di bawa ke pejabat PPM Tawau untuk tindakan lanjut.
“Rampasan kemudian diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau untuk disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.