![]() |
Kebakaran yang memusnahkan sebuah blok rumah pekerja sembilan pintu, di Jalan Pengkalan dekat sini, kira-kira jam 3 petang tadi. Foto | Ihsan Bomba. |
KALABAKAN : Sebuah blok rumah pekerja ladang membabitkan sembilan pintu, dekat Jalan Pengkalan di sini, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 3 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.01 petang sebelum Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira sepuluh minit kemudian.
Manakala sepasukan tujuh anggota dari BBP Tawau bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 91 kilometer tiba jam 4.40 petang.
“Sebaik tiba, didapati kebakaran sedang berlaku membabitkan satu blok rumah pekerja ladang di situ membabitkan sembilan pintu.
"Operasi pemadaman dijalankan oleh PBS kalabakan menggunakan dua aliran sumber air terbuka daripada kolam berhampiran menggunakan pam angkut," katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Katanya, api berjaya dikawal pada jam 5.09 petang, sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 5.47 petang dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.
“Pemeriksaan akhir telah jalankan di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain wujud seblum operasi ditamatkan sepenuhnya.
"Operasi turut dibantu Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) manakala punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.