![]() |
Pemandu e-hailing tidak mengaku salah aniaya anak lelaki, 6 Oktober lalu. |
TAWAU : Seorang pemandu e-hailing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menganiaya anak lelakinya berusia satu tahun 11 bulan, Oktober tahun lalu.
Mohd Syazamansyah Anak Mohd Lani, 25, bagaiamanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dihadapkan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan keatas seorang kanak-kanak lelaki berumur 1 tahun 11 bulan telah menganiaya sehingga menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Pesisiran di sini, kira-kira jam 5 petang pada 6 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 31 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berikutan pengakuan itu, pihak pendakwaan menawarkan wang jaminan RM7,000 dengan dua orang penjamin tempatan dan syarat tambahan termasuk tertuduh dilarang mendekati mangsa dan saksi-saksi pendakwaan selain dikehendaki melapor diri di balai polis berdekatan serta perlu hadir setiap perbicaraan di mahkamah.
Tertuduh bagaimanapun merayu agar wang jaminan dikurangkan memandangkan pendapatannya sebagai pemandu e-hailing sebanyak RM400 sebulan serta perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan seorang anak yang masih kecil.
Hakim kemudiannya menetapkan wang jjaminan sebanyak RM5000 selain membenarkan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.
Tarikh 12 Februari ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.