Sekolah di Parlimen Penampang terima geran aktiviti sumbangan YBR


Ewon ketika ditemui media - ihsan Jabatan Penerangan Sabah


PENAMPANG : Setiap sekolah dalam kawasan Parlimen Penampang akan menerima geran aktiviti sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR) sehingga RM10,000.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata setiap sekolah rendah akan mendapat geran aktiviti RM5,000 dan sekolah menengah memperolehi RM10,000 manakala sekolah yang mempunyai program pendidikan khas akan diberikan RM 10,000.

“Saya telah memulakan pemberian geran aktiviti tahunan kepada semua sekolah di kawasan Parlimen Penampang pada tahun 2023, diteruskan pada tahun 2024 dan tahun ini.

“Mudah-mudahan untuk tahun ini kita akan adakan sekitar bulan Mac nanti di salah satu sekolah dalam kawasan Penampang ini,” katanya semasa Karnival Sukan PIBG The Saints Primary School Penampang 2025, pada Sabtu.

Ewon berharap karnival seumpama itu yang pertama kali dianjurkan akan menjadi acara tahunan. 

“Selaku Ahli Parlimen Penampang, saya akan memberi sokongan penuh kepada inisiatif seperti ini dan yakin dapat memupuk semangat kebersamaan di kalangan PIBG dan membina semangat mahu membuat yang terbaik di kalangan para pelajar,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau juga memaklumkan akan menyumbangkan RM10,000 lagi masing-masing kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK St Theresa Inobong, SK St Paul, Kolopis serta SK St Joseph Penampang.

“Ini adalah sumbangan menggunakan peruntukan ahli parlimen yang dipertanggungjawabkan kepada saya.

“Juga sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada ketiga-tiga sekolah yang mengambil inisiatif memulakan penganjuran pertama kali sukan the saint school,” jelasnya.


( JABATAN PENERANGAN SABAH )



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama