55 rumah koloni setinggan haram dirobohkan di Kota Kinabalu

 

PDRM melaksanakan Operasi Perobohan Kolopni Setinggan di Kota Kinabalu pada Khamis lalu.


KOTA KINABALU: Sebanyak 55 rumah setinggan yang dibina secara haram di daerah Kota Kinabalu telah dirobohkan dalam Operasi Perobohan Koloni Setinggan Siri 1/2025 yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, semalam.

Menurut kenyataan IPD Kota Kinabalu, operasi melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), serta Jabatan Ketua Menteri (JKM).

Katanya, kesemua rumah setingga tersebut didapati tidak memenuhi syarat keselamatan yang ditetapkan dan berpotensi mengancam keselamatan serta keselesaan penduduk sekitar.

“Perobohan ini bukan sahaja bertujuan untuk menghapuskan penempatan haram, tetapi juga untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk sekitar,” katanya melalui satu kenyataan Polis, Khamis lalu.

IPD Kota Kinabalu turut memaklumkan bahawa operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan pada masa hadapan sebagai langkah membanteras jenayah, Pendatang Tanpa Izin (PTI), penyalahgunaan dadah, serta gejala sosial di daerah tersebut.

“Pihak PDRM IPD Kota Kinabalu komited untuk memastikan daerah ini bebas daripada sebarang kegiatan jenayah dan aktiviti yang tidak sah,” tambahnya.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama