![]() |
Keadaan semasa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Keningau. |
KENINGAU: Seramai 66 mangsa daripada lapan keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Keningau selepas banjir melanda beberapa kawasan di daerah itu sejak semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Bahagian Keningau memaklumkan bahawa kejadian banjir telah berlaku akibat hujan lebat berterusan selama dua (2) jam mengakibatkan kawasan rendah dinaiki air.
“Operasi pemindahan dijalankan oleh pihak Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Persatuan Pacuan 4x4 Keningau, dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Bahagian Keningau,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, semua agensi terlibat turut memberi kerjasama dalam menyediakan bantuan kecemasan termasuk pengangkutan, makanan, dan rawatan perubatan kepada mangsa.
Sementara itu, laporan Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, setakat ini, 14 kawasan di Keningau dilaporkan terjejas akibat banjir, antaranya Kampung Bariawa Laut, Kampung Kauran, Kampung Kadalakan, Kampung Bakiau, dan PPRT Taman Anggerik.
Kawasan lain yang turut dilaporkan terkesan adalah Kampung Patikang Ulu, Kampung Agudon, Taman Andika, Kampung Gunsanad, Taman Khong Lok, Kampung Masak, Kampung Banjar, Kampung Lingkudau, serta Kampung Belibi.
“Keadaan banjir dipantau secara berterusan bagi memastikan keselamatan penduduk dan mempercepatkan proses pemulihan serta bantuan susulan,” tambahnya.