![]() |
Foto ihsan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah |
LAHAD DATU - Seramai 76 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Program Pemindahan Tahanan Asing Ke Negara Asal yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam.
Pemindahan ini melibatkan 48 lelaki dewasa, 11 perempuan dewasa, 12 kanak-kanak lelaki, dan 5 kanak-kanak perempuan berusia antara 3 bulan hingga 76 tahun. Kesemua mereka dihantar pulang melalui laluan laut dari ICQS Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina, menggunakan feri MV Ming Hai.
Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Siti Saleha Habib Yussof, kesemua PATI yang terlibat menyertai program pembiayaan sendiri untuk pulang ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman penjara dan melengkapkan proses dokumentasi perjalanan.
"Kesemua PATI dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tinggal lebih masa atau masuk ke negara ini tanpa dokumen sah.
"JIM Sabah menegaskan bahawa semua tahanan yang dihantar pulang akan disenaraihitamkan dalam sistem imigresen mengikut kesalahan masing-masing," katanya.
Sehingga kini, seramai 221 warganegara Filipina telah dihantar pulang melalui laut pada tahun 2025, menjadikan jumlah keseluruhan tahanan asing yang dipindahkan ke negara asal seramai 437 orang.
"Berdasarkan statistik JIM Sabah, warganegara Filipina merupakan jumlah tertinggi yang dihantar pulang 221 orang,diikuti Indonesia 165 orang, Pakistan 33 orang, China 12 orang, Vietnam 3 orang, dan lain-lain warganegara 3 orang.
"Program pemindahan tahanan PATI warganegara Filipina bergantung kepada pengeluaran Travel Document (TD) oleh Kedutaan Republik Filipina di Malaysia," tambahnya.
Bagi mengelakkan tempoh penahanan yang panjang, pemindahan PATI dari Depot-Depot Imigresen di Sabah akan terus dijalankan dari semasa ke semasa.
Dalam masa sama, JIM Sabah memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap majikan atau pemilik premis yang menggaji PATI tanpa dokumen sah.
Jabatan itu juga menasihatkan semua pihak supaya hanya mengambil pekerja asing melalui saluran yang sah bagi mengelakkan tindakan undang-undang.