TAWAU: Cubaan menyeludup keluar 9,600 kilogram gula pasir paket ke negara jiran gagal selepas dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.
Pasukan Maritim Malaysia yang menjalankan Op Timur dan Op Tiris pada jam 8.30 pagi mengesan sebuah bot kargo sarat dengan muatan di kedudukan 2.4 batu nautika selatan Batu 3, di sini.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot kargo tempatan berkenaan dilihat sedang bergerak dari arah Sungai Tawau menuju ke sempadan perairan negara.
Katanya, pasukan Maritim Malaysia bertindak menahan bot kargo berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan terhadap barang yang dibawa.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot kargo itu dikendalikan oleh seorang juragan lelaki warga tempatan berusia 23 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati juragan terbabit gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa dan tiada sebarang pengikraran barangan dilakukan.
“Semakan juga mendapati nama juragan turut tiada daftar di dalam lesen bot,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, hasil penggeledahan menyeluruh ke atas bot kargo itu menemukan sejumlah 9,600 kilogram gula pasir paket sekilo di dalam bot kargo berkenaan.
“Juragan terbabit ditahan bersama bot kargo dan muatan serta diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.
“Semua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM60,000,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).
Shahrizan berkata, pihaknya akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).
“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.
“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 atau talian kecemasan 999,” katanya.