![]() |
Arifin (tengah) semasa ditemui media - ihsan Jabatan Penerangan Sabah |
KOTA KINABALU: Akademi Tahsin Al-Quran Negeri Sabah (AHSANS) akan diwujudkan dan dijangka mula beroperasi pada tahun ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Arifin Mohd Arif berkata akademi tersebut bertujuan mencari dan membimbing golongan muda yang berpotensi dalam bidang Al-Quran di negeri ini.
"AHSANS ini akan berada di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan akan bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
"Strategi yang diambil dalam pelaksanaan akademi itu antaranya termasuklah mengadakan jelajah ke seluruh daerah dan bahagian bagi mendapatkan anak-anak kita yang boleh kita bimbing.
"Kita akan pilih satu tempat khas untuk peserta akademi ini dan untuk sementara waktu kita akan wujudkan di Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sabah (ITQAS)," katanya semasa menghadiri Majlis Tilawah Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Negeri Sabah 1446H/2025M bagi kategori Tilawah Remaja Akhir, pada Khamis.
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama Sabah berkata, berkata anak-anak yang berpotensi itu akan didedahkan untuk melihat perkembangan tilawah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Kita juga akan beri mereka peluang untuk ke Indonesia dan beberapa negara yang boleh memberikan mereka pengalaman bersama dengan guru-guru Al-Quran di tempat berkenaan," ujarnya.
Menurutnya lagi, budaya membaca Al-Quran di kalangan anak muda harus dikembangkan kerana ramai di kalangan golongan ini berpotensi untuk digilap sehingga boleh melahirkan tokoh Al-Quran.
"Hari ini kita menyaksikan peserta kategori remaja Majlis Tilawah Al-Quran, dan saya lihat ada potensi pada anak-anak kita ini, kita akan gilap bakat mereka dan kita akan bawa mereka ke dalam akademi ini.
"Saya sangat bangga dengan pencapaian anak-anak kita dan kita akan kembangkan budaya membaca atau budaya taranum Al-Quran di kalangan anak-anak muda.
"Apabila kita kembangkan lagi, kita beri semangat dan bimbing, saya yakin Sabah mempunyai potensi untuk muncul sebagai negeri yang melahirkan tokoh-tokoh Al-Quran seperti mana sebelum ini," jelas beliau.
Hadir sama, Pengarah JHEAINS, Datuk Jumain Abdul Ghani dan Timbalan Yang Dipertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )