![]() |
Sembilan warga asing akan diserahkan kepada Konsulat Republik Indonesia bagi proses pengusiran. |
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tahan sembilan nelayan warga Indonesia selepas didapati menceroboh perairan negara, di sini Ahad lepas
Semua nelayan asing terbabit ditahan kerana menangkap ikan di kedudukan antara 2.5 hingga 5.6 batu nautika utara Burst Point, pada jam 1 petang.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata semasa menjalankan Op Pluto Timur, pihaknya mengesan tiga bot dalam keadaaan mencurigakan di perairan tersebut.
Katanya, pemeriksaan awal yang dijalankan terdapat sembilan lelaki warga Indonesia berusia 28 hingga 52 tahun di dalam bot berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati semua warga asing terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Semua nelayan terbabit bersama tiga buah bot dan enjin serta hasil tangkapan yang dianggarkan bernilai RM20,000 dirampas,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Shahrizan berkata, semua warga asing terbabit telah diserahkan kepada Konsulat Republik Indonesia bagi proses pengusiran.
“Selepas proses dokumentasi selesai, ketiga-tiga bot berkenaan telah diiring ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia untuk dihantar pulang ke negara asal
“Ia berikutan MoU antara kerajaan Indonesia dan Malaysia, berkaitan garis panduan perlakuan terhadap nelayan oleh agensi penguatkuasaan maritim kedua-dua negara yang ditandatangani pada 27 Januari 2012,” katanya.
Menurutnya, APMM menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang pencerobohan dan aktiviti haram di Zon Maritim Malaysia, khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah maritim atau kecemasan di sekitar perairan Tawau boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999,” katanya.