![]() |
Jonathan (kiri), Ronald Kiandee (kanan). |
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin 'menasihati’ Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee agar mendapatkan maklumat serta 'headline' berita daripada sumber yang sahih berhubung dakwaan rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Ronald Kiandee yang sebelum ini dilaporkan mendakwa terdapat perbezaan dari segi kepantasan siasatan kes antara yang melibatkan pemimpin kerajaan dan pemimpin pembangkang.
Ronald Kiandee semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada minggu lepas turut membacakan beberapa 'headline' berita mengenai isu skandal rasuah ADUN Sabah.
"Sebagai penutup, kawan saya dari Beluran sudah keluar tapi saya sebenarnya suka kalau dia baca 'headline' yang sepatutnya dia sebut.
“'Headline' yang dia (harus) baca…. Pada 16 Februari 2025, Berita Harian, Dakwaan rasuah ADUN Sabah: SPRM sahkan video tiada kredibiliti, tak boleh guna pakai.
"Sebab itu kita minta supaya beliau tidak lagi membaca 'headline' yang salah (sebaliknya) baca ‘headline' yang betul dari pihak SPRM," katanya dalam Dewan Rakyat, semalam.