TAWAU: Mahkamah Majistret di sini, menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM10,000 terhadap seorang bekas banduan kerana memandu dalam keadaan mabuk, pada 27 Disember tahun lepas.
Roslan Lenter berusia 41 tahun yang masih dalam pengawasan pejabat Parol membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum, hari ini.
Mengikut fakta kes, Roslan yang memandu kereta Perodua Viva telah melanggar sebuah van dari arah belakang di Jalan Hilltop, kira-kira jam 7 malam.
Kemalangan itu didakwa berpunca daripada kecuaian memandu dan didapati tertuduh ketika itu disyaki dalam keadaan mabuk.
Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah tertuduh sebanyak 205 miligram etil dalam 100 mililiter darah.
Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Joan Lee dalam hujahnya meminta supaya mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang tinggi sebagai pengajaran dan keinsafan kepada diri tertuduh.
Majistret turut menjatuhi hukuman penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan, selain tertuduh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun