Belia bekerja diminta dapatkan sijil pengiktirafan Pusat GIATMARA


TAWAU: Belia yang bekerja dalam bidang kemahiran terutamanya elektrik dan jahitan di daerah ini digalakkan supaya mengambil peluang untuk mendapatkan sijil pengiktirafan di Pusat GIATMARA.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata belia yang sedang bekerja dalam bidang kemahiran perlu sentiasa mengambil inisiatif untuk memajukan diri mereka.

Katanya, kerajaan banyak menyediakan peluang supaya belia boleh meningkatkan kemahiran mereka termasuklah di Pusat GIATMARA yang menyediakan latihan dan sijil yang diiktiraf.

“Kita mahukan belia di negara ini menjadi tenaga kerja yang mahir atau profesional supaya masa depan mereka lebih cerah pada masa akan datang.

“Saya difahamkan latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) yang disediakan GIATMARA berupaya melahirkan 85 peratus graduan di pasaran kerjaya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Pusat GIATMARA, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, peluang belia yang mempunyai sijil kemahiran lebih cerah mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian, malah mereka boleh menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Ketika ini negara sedang rancak dalam sektor pembuatan dan industri menyebabkan keperluan tenaga kerja berkemahiran dalam pelbagai bidang sangat diperlukan.

“Justeru, saya berharap Pusat GIATMARA di daerah ini mampu menarik lebih ramai belia untuk melanjutkan pelajaran atau kemahiran mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berharap seramai 26 orang pelajar di pusat ini yang mengambil bidang elektrik dan jahitan dapat belajar lebih tekun supaya menjadi tenaga mahir yang mampu menyumbang kepada negara.

“Saya mendoakan agar semua pelajar di sini mendapat pekerjaan yang lebih baik selepas menamatkan pelajaran dan siapa tahu boleh menjadi pereka fesyen terkenal pada masa akan datang.

“Belia adalah masa depan negara, oleh sebab itu kerajaan sama ada Persekutuan ataupun negeri sangat menitikberatkan soal kemenjadian mereka,” katanya.

Nizam turut menyampaikan sumbangan katil, bantal, tilam dan kipas kepada Pusat GIATMARA untuk kemudahan serta keselesaan pelajar yang tinggal di asrama di sini.

“Saya berharap sumbangan ini menjadi suntikan semangat kepada pelajar untuk terus tekun menimba ilmu sekali gus melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama