PENAMPANG: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Darell Leiking yang mendakwa penyelenggaraan sistem perparitan yang lemah adalah punca utama banjir kilat melanda negeri ini terutamanya daerah Penampang adalah bersifat ironi.
Ketua Pemuda GRS Penampang, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan bekas ahli Parlimen Penampang yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog itu, baru-baru ini.
Katanya, Darell gagal menangani isu terbabit ketika menjadi wakil rakyat daerah Penampang, termasuk tempoh beliau sebagai menteri di peringkat Persekutuan dari 2018 hingga 2020.
"Tetapi mari kita ajukan satu soalan mudah—apa yang telah beliau lakukan ketika berkuasa? Selama 10 tahun, rakyat Penampang dan Moyog telah memberikan beliau mandat, namun daripada menumpukan kepada penyelesaian sebenar, beliau hanya membuang masa dengan berpolitik, memberi alasan, dan menuding jari.
“Sebagai Ahli Parlimen, adakah beliau berusaha mendapatkan peruntukan persekutuan untuk menaik taraf sistem perparitan di Penampang? Tidak
“Adakah beliau menggunakan pengaruhnya sebagai Menteri Persekutuan untuk memastikan pelan tebatan banjir dilaksanakan? Tidak.
“Adakah beliau berjuang untuk rakyatnya ketika beliau sebenarnya mempunyai kuasa? Jelas sekali tidak.
“Sekarang, setelah beliau tidak lagi berada di Parlimen, tiba-tiba beliau berpura-pura mengambil berat tetapi di manakah keprihatinan ini ketika beliau benar-benar mempunyai kuasa untuk bertindak?” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan mengapa Darell tidak berusaha mendapatkan peruntukan Persekutuan melalui hubungan menteri dalam partinya sendiri sekiranya prihatin terhadap rakyat.
“Berbanding mengambil tindakan, beliau terus mengeluarkan kenyataan media menyalahkan orang lain sementara mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ADUN Moyog.
"Tidak seperti Darell, Ahli Parlimen Penampang ketika ini, Datuk Ewon Benedick, telah bekerja tanpa henti untuk menyelesaikan masalah yang ditinggalkan oleh kegagalan WARISAN selama bertahun-tahun.
"Sejak memegang jawatan, Ewon telah secara aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan penyelesaian sebenar bagi mitigasi banji. Sesuatu yang gagal dilakukan oleh Darell sepanjang 10 tahun beliau menjadi Ahli Parlimen Penampang.” katanya.
Disamping itu, beliau juga perkata kerajaan negeri yang diterajui GRS bersama Pakatan Harapan Sabah (GRS-PH Plus) kekal fokus kepada rakyat menerusi usaha dan inisiatif yang dilaksanakan.
“Pelan tebatan banjir memerlukan perancangan jangka panjang, usaha sebenar, dan kepimpinan yang bertanggungjawab bukan sekadar sandiwara politik untuk menarik perhatian media.
“Daripada menyerang mereka yang benar-benar bekerja, Darell sepatutnya mengambil tanggungjawab atas kegagalannya dan bertanya kepada dirinya sendiri mengapa, selepas bertahun-tahun, masalah yang sama masih tidak diselesaikan semasa beliau berkuasa? Jawapannya jelas kerana beliau gagal bertindak ketika beliau paling diperlukan.” katanya.
Mandela berkata, rakyat Penampang dan Moyog berhak mendapat pemimpin yang lebih baik berbanding sekadar individu yang hanya muncul ketika musim pilihan raya untuk menuding jari.
“Jika Darell tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai ADUN Moyog, mungkin sudah tiba masanya beliau berundur dan memberi laluan kepada pemimpin sebenar iaitu pemimpin yang bekerja, bukan yang sekadar bercakap.” katanya.