![]() |
GRS Darau pasang CCTV di kawasan 'hotspot' Kampung Likas. |
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bahagian Darau telah membuat pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 24 kawasan yang dikenali sebagai kawasan 'hotspot' di Kampung Likas.
Ketua bahagian Gagasan Rakyat Darau, Datuk Mohamed Razali Razi berkata, pemasangan CCTV di kawasan itu adalah bertujuan untuk membantu meningatkan tahap keselamatan khususnya penduduk di sekitar Kampung Likas.
"Inisiatif pemasangan CCTV ini kita sudah pun mulakan pada awal Januari lalu di mana fasa 1 kita sudah pasang di Kampung Cenderamata 1.
"Proses pemasangan CCTV ini telah dilaksana dengan kerjasama dari ahli-ahli Gagasan Rakyat Cawangan bersama para pemimpin setempat dan saya ucapkan terima kasih kepada mereka atas kerjasama dan komitmen yang diberikan demi membantu meningkatkan keselamatan di kampung-kampung terlibat," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, CCTV juga sudah dipasang di beberapa kampung sekitar termasuk, Kampung Likas Lama; Simpang Sekolah Kebangsaan (SK) Likas; Jalan Muhibbah; Kampung Cenderamata 2; Lorong Lengkok; Lorong Diak Likas Lama; dan Kampung Cempaka.
Tambah Razali yang juga merupakan penduduk asal kampung Likas, pemasangan CCTV itu secara tidak langsung akan serba sedikit membantu meningkatkan tahap keselamatan dari pelbagai sudut.
"Ia termasuklah bagi membantu mengesan kes-kes kecurian, kemalangan dan banyak lagi," katanya.
Jelas beliau lagi, pemasangan CCTV itu akan diteruskan tidak hanya di kawasan Likas tetapi di seluruh kawasan Darau.
"Pemasangan CCTV ini kita teruskan dan perluaskan di kampung-kampung lain yang ada di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau ini," ujarnya.