Cubaan seludup masuk rokok bernilai lebih RM48,000 gagal

 


SANDAKAN: Cubaan seludup masuk 78,400 batang rokok putih ke negara ini gagal selepas dipatahkan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan daerah ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, pasukan Maritim Malaysia mengesan pergerakan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan berhampiran perkampungan atas air di Tanah Merah, Sandakan. 

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata pihaknya yang melakukan operasi bersepadu Op Pluto Timur dan Op Tiris terus mengarahkan bot berkenaan berhenti.

Namun, katanya, tekong bot terbabit memecut laju ke kawasan perairan cetek berhampiran Kampung Tanah Merah, sebelum meloloskan diri meninggalkan botnya.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut telah menemui 78,400 batang rokok putih dianggarkan bernilai RM48,404, dipercayai cuba diseludup dari negara jiran.

“Siasatan awal mendapati bot tersebut berdaftar di bawah lesen perikanan,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, semua rampasan termasuk rokok dan bot beserta enjin yang berjumlah keseluruhan lebih RM63,000 itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana membawa barang larangan tanpa permit yang sah, serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 kerana gagal mempamerkan lesen vesel yang sah,” katanya.

Muhamad Suhairy berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti pemilik bot serta dalang utama di sebalik kegiatan penyeludupan ini. 

“Maritim Malaysia komited dalam usaha membanteras penyeludupan di perairan negara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan di perairan negara digesa untuk menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera,” katanya


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama