![]() |
Pihak DBKK menjelaskan bahawa mana-mana pihak yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Penjaja menerusi talian 011-25198664 |
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bakal membuka permohonan menjaja di bazar Ramadan secara dalam talian bermula pada 18 sehingga 19 Februari ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pautan permohonan menerusi borang E-Bazar akan dikongsikan menerusi laman media sosial rasmi Facebook DBKK pada 18 Februari bermula jam 10 pagi.
"Tapak lot adalah terhad dan berdasarkan 'First Come, First Serve Basis'.
"Tapak lot bazar Ramadan di bawah seliaan DBKK ialah Lintasan Deasoka, Indah Permai, Sembulan, Tanjung Aru dan Padang Merdeka Kota Kinabalu.
"Bagi memudahkan proses pengisian Borang E-Bazar tersebut, pemohon hendaklah menyediakan dokumen yang diperlukan seperti salinan Sijil Kad Kesihatan yang masih sah, salinan Sijil Kursus Pengendalian Makanan, salinan kad pengenalan yang telah disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan satu gambar produk jualan (berwarna dan dalam bentuk digital 'soft copy').
"Kegagalan untuk memuat naik dokumen-dokumen yang telah dinyatakan tersebut akan menyebabkan permohonan ditolak," jelas dalam kenyataan terbabit.
Pihak DBKK turut menjelaskan mana-mana pihak yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Penjaja menerusi talian 011-25198664 pada jam lapan pagi sehingga lima petang waktu pejabat.