![]() |
Razlan |
KUALA LUMPUR: Demografi Sabah yang luas menjadi faktor utama negeri terbabit sukar untuk maju dari segi pembangunan, kata Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.
Walau bagaimanapun, menurutnya kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana negeri khususnya negeri Sabah dalam aspek berkaitan pembangunan.
"Kalau kita tengok (sebagai contoh) Sabah dan Sarawak, demografinya besar (dari sudut keluasan dan kependudukan), jadi sudah tentu pembangunan setempat itu mengambil masa.
"Bagi pandangan saya, tidak ada diskriminasi langsung dari segi pembangunan mana-mana negeri. Kalau kita tengok hari ini macam negeri Johor yang maju disebabkan Singapura. Kita juga tengok kemajuan di Singapura dibawa ke Johor sebelum merdeka pun.
"Kalau negeri Selangor, kita tengok kemajuan itu dibawa dari Kuala Lumpur. Kuala Lumpur itu adalah ibu kota kita daripada dulu, pembangunan itu bermula dari Kuala Lumpur dan berbalik (kemajuan) kepada Selangor dan sekitarnya.
"Kita meneruskan pembangunan itu tanpa ada diskriminasi. Saya lihat (Malaysia) ini sebagai satu negara, tidak boleh kita asingkan negeri itu negeri ini. Negara Malaysia mempunyai 14 negeri termasuk Sabah dan Sarawak jadi pembangunan itu (dilaksanakan) secara sekata.
"Kadang-kadang, mungkin ada orang kata Sabah dan Sarawak ini tidak maju disebabkan demografinya besar," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu video yang dimuat naik dalam sebuah laman media sosial, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata pelaksanaan pembangunan di sesebuah negeri juga bergantung pada lanskap politik semasa.
Beliau mengambil contoh projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak mengambil masa yang lebih dari yang telah dijadualkan berikutan perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.