![]() |
Foto Ihsan Bomba. |
TAWAU: Dua buah rumah jenis separuh kekal di Kampung Budaya Pasir Putih, di sini hangus terbakar tengah hari tadi.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.33 tengah hari.
Katanya, sepasukan 15 anggota dan pegawai bersama jentera dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Setibanya di lokasi kejadian, dua buah rumah sudah terbakar dan mangsa bersama orang kampung cuma menyelamatkan harta benda mereka.
“Pasukan bomba menggunakan empat pancutan sumber air dari jentera bomba dalam operasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain dan memusnahkan lebih banyak rumah berhampiran.
“Kebakaran mula terkawal pada jam 1.05 petang dan pasukan bomba masih menjalankan pemeriksaan akhir di lokasi kejadian.
“Pasukan forensik bomba akan menjalankan siasatan untuk mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.