KINABATANGAN: Dua buah rumah di Kampung Melikop Tongod, di sini ranap dalam kejadian kebakaran, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, terdapat seorang lelaki berusia 40 tahun mengalami kecederaan melecur di bahagian belakang badan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.44 pagi.
Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi memadam.
“Sebaik tiba, kebakaran itu membabitkan dua buah rumah termasuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
“Pasukan bomba hanya menjalankan pemeriksaan dan mendapatkan maklumat kejadian di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, terdapat seorang mangsa lelaki melecur terkena api di bahagian belakang badan dan telah dihantar ke hospital oleh orang awam.
“Setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian, pasukan bokan bomba menamatkan operasi pada jam 6.35 pagi,” katanya.